Pages

Novel : Aku Hanya Sorellastra Cinderella 3



Peristiwa yang merubah segalanya...
SUDAH hampir sebulan Reiyya dan Serina tinggal di rumah agam milik Malik. Kalau dulu Reiyya menjadi hamba kepada
mamanya tetapi kini tidak lagi. Di rumah agam tersebut, sudah tersedia tiga orang gaji yang menjadi orang suruhan Serina.
     Walaupun Reiyya tidak lagi disuruh-suruh dan diarah-arah, dia tetap kena habuannya. Reiyya tetap di marah, ditengking dan diherdik sesuka hati tetapi hanya dibelakang Malik. Ketika Malik ada di rumah, dia dilayan seperti seorang manusia tetapi apabila kelibat Malik hilang, dia dilayan seperti seekor anjing.
     Ella tetap dengan lakonannya. Menjadi seorang gadis yang baik, manja dan ceria dihadapan Malik dan Serina tetapi apabila hanya berdua, wajahnya yang bak malaikat itu hilang lesap entah kemana. Wajah itu diganti dengan wajah yang penuh sinis dan sombong. Reiyya dibuli sesuka hati. Dia dianggap seperti insan yang tidak punya hati dan perasaan.
     Esok merupakan hari persekolahan selepas sebulan lebih lamanya dia bercuti. Dia akan ditempatkan satu sekolah dengan Ella. Dia sangat gembira kerana Malik membelikan 3 pasang baju sekolah yang baru untuknya. Tidak lupa juga kasut, beg dan peralatan sekolah yang lain. Saat Malik membelikan semua itu untuknya, dia perasan Serina menjeling ke arahnya. Dia tahu Serina tidak puas hati apabila dia dibelikan barang baru oleh Malik.
     Namun pada petang itu, semuanya berubah. Peristiwa yang berlaku membuatkan dia berubah. Ketika Malik tiada di rumah kerana ada hal mustahak di pejabatnya, ketika itulah semuanya berlaku. Senyuman yang selama ini tersungging di bibir tidak kira dia dimarah atau dibuli hilang hanya kerana kejadian pada petang itu.
     Pada ketika itu, Reiyya berada di belakang rumah. Baju sekolah barunya yang dibasuh ternyata sudah kering. Segera dia mengambil baju sekolahnya itu dan berjalan masuk ke dalam rumah. Namun, ketika dia hendak masuk, Ella datang bersama dengan sepasang gunting di tangan. Di bibir gadis itu juga tersungging senyuman yang terselit dengan maksud tersirat.
     “Kak Reiyya tengah buat apa?” Tanya Ella di muka pinta. Dia sengaja tidak berganjak dari pintu agar Reiyya tidak dapat masuk ke dalam rumah.
     “Reiyya baru je ambil baju sekolah ni dari ampaian. Ella nak apa?” Reiyya menyoal pantas. Hatinya terdetik suatu perasaan yang tidak enak apabila melihat Ella bermain dengan gunting yang agak besar itu. Risau rasa hatinya tika ini.
     “Oh! Best tak dapat baju sekolah baru?” Sekali lagi Ella menyoal.
     Reiyya hanya mengangguk. Debaran di hatinya tidak hilang malah semakin kuat apabila Ella mula melangkah menghampirinya.
     “Kak Reiyya rasa gunting ni boleh gunting apa? Gunting ni Ella minta belikan daripada mama Rina. Dia kata gunting ni untuk gunting kertas tapi Ella tengah cuirous ni. Kak Reiyya rasa gunting ni boleh gunting benda lain tak?” Ella kini sudah ada di hadapan Reiyya.
     “Reiy... Reiyya tak tahu.” Gugup Reiyya menjawab pertanyaan Ella.
      Ella berhenti dari bermain dengan gunting yang dipegangnya. Dia mendongak memandang Reiyya. Pandangannya tajam disertakan dengan senyuman yang penuh maksud di bibir. Reiyya semakin tidak keruan. Dia risau dan takut.
     Seketika kemudian matanya membulat apabila mata Ella terarah pada baju sekolah yang dipegangnya. Seolah-olah tahu apa yang bermain di fikiran Ella, Reiyya pantas ingin membuka langkah meninggalkan Ella tetapi terlambat. Ella lebih pantas merampas baju sekolahnya lalu berdiri jauh dari Reiyya.
     “Ella, jangan!” Jerit Reiyya.
     Ella tersenyum sinis. Gunting di buka luas dan didekatkan dengan baju sekolah milik Reiyya. Reiyya yang melihat sudah terbeliak. Melihat Ella yang ingin menggunting bajunya, Reiyya pantas berlari mendapatkan Ella tapi sekali lagi Reiyya terlambat. Gunting itu sudah pun membelah bajunya membuatkan Reiyya menjerit.
     “Jangan!” Reiyya pantas merampas baju sekolah miliknya itu.
     Melihat baju sekolahnya yang sudah pun koyak- rabak angkara membuatkan air matanya mengalir. Dia terjelopok jatuh ke atas tanah bersama dengan baju yang dilekap ke dada.
     “Hahaha... Padan muka! Hahaha...” Ujar Ella sambil ketawa senang. Suka hatinya apabila melihat Reiyya menangis dan meruntun pilu. Melihat Reiyya yang terjelopok ke tanah bersama air mata yang lebat membuatkan dia gembira tetapi dia belum puas.
     Reiyya menangis semahu-mahunya. Matanya dipejam rapat bersama air mata yang tidak henti-henti mengalir. Baju sekolah barunya habis koyak dikerjakan Ella. Dia mahu meraung sekuat hatinya. Dia ingin menjerit marah kepada Ella. Dia ingin Ella juga menangis kerana dirinya tetapi dia tidak mampu. Dia terlalu lemah untuk membalas balik.
     “Kenapa... kenapa Ella buat Reiyya macam ni?” Tanya Reiyya bersama suara tenggelam timbul. Sungguh sebak sehingga suaranya hampir tidak kedengaran. Matanya dibuka untuk melihat bajunya. Bajunya yang sudah koyak- rabak. Sekali lagi dia memejamkan mata. Ingin dihapuskan rasa sedih yang melanda tetapi dia tidak mampu.
     “Sebab Ella tak suka kak Reiyya. Selama ini, papa cuma ada Ella sebagai anak perempuan tetapi sekarang papa dah ada dua disebabkan kemunculan kak Reiyya. Ella tak suka! Ella benci!”
     Ella menjerit marah kepada Reiyya. Wajahnya merah menahan amarah. Kerutan di dahi jelas kelihatan bersama pandangan yang tajam menikam tubuh Reiyya di atas tanah itu.
     Reiyya hanya menggelengkan kepalanya berkali-kali. Dia tidak pinta ini semua. Dia tidak pernah minta untuk hadir di dalam keluarga ini. Dia tidak pernah minta untuk disayangi oleh Malik. Dia tidak pernah minta Malik memberikan perhatian kepadanya. Dia tidak minta!
     Ingin saja Reiyya menjerit semua luahan hatinya kepada Ella. Ingin dia jerit agar Ella tahu ini semua bukan kehendaknya tetapi dia tidak boleh. Pilu yang mencengkam hatinya membataskan segalanya. Dia hanya mampu menunduk lemah dan mengalirkan air mata.
     Ella yang melihat Reiyya diam tidak membalas tersenyum sinis. Kemudian, dia berjalan pula ke belakang Reiyya. Berdiri betul-betul di belakang tubuh Reiyya yang terduduk di atas tanah itu. Perlahan-lahan dia meletakkan tangan kirinya di atas rambut Reiyya. Reiyya yang merasa sentuhan lembut Ella sekali lagi berasa takut. Mata yang terpejam tadi dicelik luas. Air matanya juga sudah berhenti mengalir. Hatinya berdebar dengan kencang sekali. Sungguh dia takut.
     “Cantik betul rambut kak Reiyya ni. Lurus dan panjang sampai paras pinggang.” Ella tersenyum. Dia membelai perlahan rambut lurus milik Reiyya.
     Gulp! Reiyya menelan liur. Bibirnya pucat. Dia menjadi takut apabila Ella memuji rambutnya malah membelai lembut. Dia ingin lari tetapi tubuhnya seakan-akan lumpuh. Kakinya seolah-olah sudah dilekat pada tanah.
     “El... Ella... nnn... nak.. bu.. buat ap.. apa?” Gagap Reiyya. Setelah beberapa saat dia mendiamkan diri dan membiarkan rambutnya dibelai, dia bersuara.
     “Ella rasa Ella dah tahu gunting ni boleh gunting apa dah kak Reiyya.” Ujar Ella seakan berbisik.
     Reiyya menjadi panik! Dia tahu apa yang dimaksudkan oleh Ella. Dia tahu! Dia bukannya bodoh untuk mengerti apa yang dikatakan oleh Ella itu. Dia tak bodoh!
     “Hmmm, selain dari boleh gunting kertas dan baju sekolah....” Ella berjeda lama. Perbuatannya membelai rambut milik Reiyya masih diteruskan membuatkan Reiyya semakin panik dan panik!
     “...gunting ni pun boleh gunting rambut juga.” Sebaik saja Ella menghabiskan kata-katanya, rambut Reiyya yang dipegang dicengkam kuat membuatkan Reiyya terdorong ke belakang dan menjerit kesakitan.
     “Arghhh!”
     Ella tersenyum sinis. Malah semakin lebar apabila Reiyya mengerang kesakitan dan merayu agar dia melepaskan cengkaman rambutnya.
     “Ella cemburu sangat sangat. Papa selalu puji rambut kak Reiyya cantik. Rambut kak Reiyya lurus lah, cantik lah. Huh! Kak Reiyya tak patut dapat pujian daripada papa! Hanya Ella yang boleh dapat pujian papa! Bukan kak Reiyya!” Ella menjerit lantang seraya menguatkan cengkaman.
     Reiyya memejamkan mata. Tanpa sedar air mata kembali mengalir di pipi. Sakit apabila rambutnya ditarik kuat oleh Ella. Sakit lagi hatinya apabila mendengar Ella mencemburuinya. Hanya kerana cemburu Ella sanggup bertindak macam orang gila. Tidak berperikemanusiaan!
    “Ucapkan selamat tinggal kepada rambut kak Reiyya. Bye bye!” Sejurus itu dia menggunting rambut Reiyya semahu-mahunya. Di gunting sembarangan bersama hati yang tidak pernah kenal erti puas. Tidak langsung terdetik rasa bersalah kepada Reiyya yang menangis dan merayu agar dia menghentikan perbuatannya. Hanya ada senyuman sinis dan puas melihat kesengsaraan kakak tiriya.
     Reiyya hanya mampu pasrah. Walaupun dia merayu, terpekik melolong kepada Ella sekalipun, Ella tidak akan menghentikan perbuatannya.Perbuatan Ella hanya akan menjadi semakin galak menggunting sehingga hatinya puas menyaksikan penderitaannya.
     “Baru puas hati, Ella!” Gunting di campak ke atas tanah. Kepala Reiyya pulak ditolak semahunya. Hatinya puas. Puas melihat air mata yang mengalir deras di pipi Reiyya. Puas melihat rambut panjang dan cantik milik Reiyya kini pendek dan hodoh.
     “Sekarang ni aku saja yang cantik dan kau tu hodoh!” Ella ketawa sepuas-puasnya. Gembira apabila melihat hasil ‘seninya’ itu. “Sekarang ni Ella jadi Cinderella dan kak Reiyya tu hanya kakak tiri yang bodoh dan hodoh!” Ella menyambung tawanya. Semakin lama semakin kuat.
     Reiyya terjelopok sekali lagi. Sedih apabila melihat rambutnya yang bertaburan di atas tanah. Air matanya yang mengalir semakin deras tetapi tidak diseka. Sakit kepalanya, sakit lagi hatinya! Tiba-tiba dia berasa marah! Hatinya sakit diperlakukan sedemikian rupa. Perasaan marah yang selama ini tidak pernah dia rasa akhirnya muncul. Bukan sedikit tetapi banyak!
     Reiyya menggigit bibir kuat. Air matanya diseka kasar. Kepala yang tertunduk didongak. Mata yang tadi pilu dan sedih kini penuh dengan amarah. Api kebencian menyala marak di sebalik matanya. Matanya tajam menikam ke arah Ella yang sedang tertawa gembira. Hatinya sakit! Dia benci! Dia ingin bangkit!
     Matanya dialihkan pula ke sebelah kiri ke arah gunting yang dicampak oleh Ella sebentar tadi. Pantas dia bangkit dan mengutip semula gunting tersebut. Bersama wajah yang bengis dia melangkah ganas ke arah Ella. Ella yang menyedari perubahan wajah Reiyya menjadi kecut perut. Gerun apabila melihat wajah Reiyya yang merah menyala dan bengis.
     “Kak... kak... Reiy... Reiyya nak bu... buat apa.” Ella menjadi gugup. Kali ini giliran Reiyya pula yang tersenyum sinis apabila melihat Ella yang tadi galak membulinya kini menikus kerana takut dengan dirinya.  Dia tersenyum dan kemudian ketawa dengan penuh sinis. Apabila tawanya dihentikan, dia kembali memandang Ella dengan tajam. Dendam perlu dihitungkan!

“KAK... kak... Reiy... Reiyya nak bu... buat apa.”
     Wajah Ella bertukar pucat. Biar ditoreh dengan pisau sekalipun, pasti tiada darah yang keluar. Seram sejuk dia rasakan apabila melihat Reiyya menjadi bengis sebegitu rupa. Selama ini, biar macam mana teruk pun dia membuli Reiyya, gadis itu tidak pernah melawan tetapi hanya tertunduk dan menangis. Kini nampaknya dia sudah silap membuat perhitungan. Perbuatannya yang melampau menyebabkan Reiyya marah yang amat kepadanya. Nampaknya dia telah menghidupkan bom nuklear pada waktu yang salah.
     “Kau dah melampau Ella!!!” Tengking Reiyya.
     Suaranya mampu menggugurkan jantung Ella. Ella kini sedang menggigil ketakutan. Melihat keadaan Ella yang pucat lesi itu membuatkan Reiyya tersenyum sinis sebelum ketawa macam orang tidak siuman. Reiyya sendiri merasakan yang dia menjadi semakin gila kerana kebencian dan kemarahan yang selama ini disimpan kini sudah meletup.
     “Kau buat aku rasa nak bunuh kau!!!” Gunting ditangan diangkat tinggi. Hayunan kaki di cepatkan. Dia sudah hilang kewarasan. Sudah tidak pedulikan apa yang betul dan apa yang salah. Dia bagaikan dirasuk.
     “Tidak!” Jerit Ella apabila melihat tangan Reiyya yang memegang gunting dihayunkan tinggi kepadanya.
     “Reiyya!!!” Jerit satu suara.
     Tindakan Reiyya mati. Ella dihadapannya terus saja pengsan kerana terlalu terkejut apabila gunting tajam tersebut hampir saja meragut nyawanya.
     Reiyya terkebil-kebil memandang Ella yang terjelopok jatuh itu. Terkelip-kelip matanya memandang gunting di tangannya sebelum mencampak pantas. Dia seolah-olah baru tersedar daripada dirasuk. Nafasnya turun naik. Dia menjadi panik apabila dia sedar bahawa dia baru saja ingin membunuh Ella, adik tirinya!
     Derapan langkah kaki yang semakin dekat menghampirinya kedengaran. Baru kini dia sedar bahawa ada orang lain di situ. Ada orang lain yang menghentikan perbuatannya sebentar tadi. Sebaik saja dia menoleh ke kanan, matanya terbeliak.
     Pannnggg!!!
     Reiyya terjatuh ke tanah. Tangannya menggigil memegang pipi kirinya yang terasa perit ditampar.
     “Tak guna punya budak! Kau dah gila ke Reiyya! Kau dah tak ada akal ke nak bunuh Ella, hah!!!” Suara itu menjerit kuat.
     Reiyya tersentak. Bahunya terhinjut apabila menerima tengkingan yang begitu lantang.
     “Dasar anak tak guna! Anak sial!!!” Suara Serina menjerit memarahinya.
     Tiba-tiba Reiyya menjadi benci. Benci kepada mamanya!
     “Mama tampar Reiyya! Mama tampar Reiyya sebab Ella!” Kali ini dia bangun bertentang mata dengan Serina.
     Perasaan takut dan gerun apabila berlaga mata dengan mamanya kini sudah lesap. Wajahnya bengis memandang mama. Matanya tergambar dengan seribu satu kebencian. Jikalau tadi dia marah dan benci dengan Ella, kini perasaan itu beralih pula kepada mama.
     Serina tersentak. Terkebil-kebil apabila melihat Reiyya yang kini sudah berani bertentang mata dengannya. Tidak percaya apabila melihat Reiyya sebegitu berani melawan cakap dan meninggikan suara ke arahnya. Dia menjadi semakin berang. Wajahnya semakin merah kerana amarahnya.
     “Dasar budak kurang ajar! Memang aku tampar kau! Dari dulu lagi aku memang nak tampar kau. Aku tak pernah suka kau jadi anak aku dan aku memang tak pernah anggap kau sebagai anak aku!” Serina memekik ke arah Reiyya.
     Reiyya menggigit bibir dan mengacip kuat giginya. Rasa marah dan benci yang menyala tadi tidak padam sebaliknya semakin marak. Marah dan benci apabila mamanya berkata demikian. Kata-kata mamanya sememangnya mengguris dan merobek hatinya membuatkan dia semakin marah dan benci.
     “Kenapa! Hina sangat ke Reiyya di mata mama! Reiyya anak mama!!! Reiyya! Anak! Mama!” Dia menjerit sekuat hati. Tidak dipedulikan jika ada sesiapa yang mendengar dia terpekik melolong bagaikan orang gila. Dia hanya ingin menjerit dan memuntahkan segala apa yang terpendam selama ini.
    “Memang! Kau memang hina di mata aku sebab kau tu anak perogol! Anak perogol!!! Kau faham tak!”
     Reiyya tersentak. Bulat matanya memandang Serina yang sedang berapi dengan amarah itu. Bukan! Bukan kerana tengkingan mama yang membuatkan dia tersentak. Bukan kerana gerun melihat wajah mamanya yang ternyata merah dan bengis tetapi kerana kenyataan yang baru saja terluncur dari mulut mamanya itu!
   
“KAU tu anak perogol! Anak perogol!!! Kau faham tak!”
     “An... anak... perogol? Reiy... Reiyya anak... perogol?” Suara lemahnya bertanya. Tiada lagi jeritan untuk mamanya tetapi hanya suara yang jelas terkejut dan lemah kedengaran. Matanya bulat. Matanya dilarikan dari wajah mamanya. Dia menjadi bingung. Kakinya terasa lemah dan tubuhnya menggigil.
     “Ya! Memang kau tu anak perogol! Kau tu anak luar nikah!” Sekali lagi Reiyya ditembak dengan kenyataan yang menyakitkan. Kakinya semakin terasa lemah. Akhirnya tubuhnya longlai dan jatuh terduduk di atas tanah. Nafasnya seakan-akan terhenti mendengar kenyataan yang dia tidak pernah tahu selama ini.
     “An... anak luar nikah? Reiyya anak... luar nikah.” Gumam Reiyya sendiri.
     Serina yang melihat Reiyya terjelopok jatuh hanya tersenyum sinis. Matanya berkaca apabila rahsia yang selama ini disimpan kemas terbongkar. Kenyataan yang selama ini merantai hatinya akhirnya terlerai juga.
     Reiyya menarik nafas dalam. Wajahnya yang terkejut tadi sekali lagi berubah. Kini tahap amarah dan kebenciannya sudah mencapai tahap maksima! Pantas dia bangun lalu melangkah mendekati Serina. Matanya yang penuh kebencian ditalakan kepada Serina.
     “Mama tipu! Mama tipu Reiyya!!! Mama penipu!” Hembus nafas Reiyya tidak teratur. Dia marah! Dia benci!
     Serina hanya diam tidak terkutik. Wajahnya dilarikan ke kiri. Tidak ingin menatap wajah Reiyya yang ternyata penuh kebencian kepadanya.
     “Reiyya benci mama! Reiyya benci mama!” Sejurus saja dia menjerit kepada mamanya dia berlari masuk ke dalam rumah. Serina hanya mampu memandang belakang tubuh gadis itu sehingga hilang dari pandangan mata.
     Reiyya menghempas kuat pintu biliknya. Sebaik saja masuk dia terus menghumbankan tubuhnya dan menyebamkan wajahnya pada bantal.
     “Mama tipu! Mama tipu!” Esak tangis Reiyya semakin kuat. Hatinya hancur. Bagaikan kaca yang terhempas dan hancur menyembah lantai begitulah keadaan hati Reiyya.
     Patutlah selama ini mama tidak pernah menyayanginya. Selama ini mama selalu kasar, mengherdik dan melayannya bagaikan sampah. Dia tidak pernah dilayan sebagai seorang anak. Dia tidak pernah mendapat hak itu. Tidak pernah walaupun sekali!
     “Aku anak perogol! Aku anak luar nikah!” Reiyya menjerit sekuat hati. Rasa sakit di hati bagaikan tidak terbendung. Walaupun dia menjerit beratus kali, hatinya tetap sakit.
     “Arghhh!!!” Dengan sekuat hati Reiyya menjerit disebalik bantal. Air mata tidak henti-henti mengalir. Dadanya dicengkam kuat. Ingin rasanya dia menghentikan rasa sakit di hati tetapi apakan daya kerana dia tidak mampu.
     “Kenapa? Kenapa Reiyya tak boleh bahagia? Kenapa Reiyya yang harus terima semua ujian ni? Kenapa? Apa salah Reiyya?” Kali ini suara Reiyya mengendur. Tidak lagi menjerit untuk meluahkan rasa hatinya. Suaranya lemah, lirih seolah-olah tidak berdaya.
    Akhirnya, Reiyya hanya mampu menangis dan terus menangis. Hujan yang tiba-tiba turun seolah-olah turut bersedih dengan nasibnya sebagai anak yang malang. Hujan yang turun dengan lebat sepertinya turut merasai perasaan hatinya yang walang.


No comments:

Post a Comment