12 tahun yang lalu...
“Mama... mama... mama!” Reiyya menjerit memanggil mamanya. Bersama dengan senyuman lebar dia berlari ke arah bilik mamanya.
“Mama!” Senyuman diukir semanis dan selebarnya apabila Reiyya mendapati
mamanya ada di dalam bilik, sedang duduk bersila di atas katil sambil menghadap laptop.
Serina yang melihat Reiyya semakin menghampirinya merengus kasar. Kerutan di dahi jelas kelihatan sebaik saja melihat kelibat tubuh kecil itu tanda dia tidak senang dengan kehadiran Reiyya.
“Kau nak apa?” Serina menyoal kasar. Dia menjeling sekilas ke arah Reiyya yang sudah berada di sisinya sebelum mengalihkan kembali tumpuan menghadap skrin laptop.
“Reiyya... Reiyya nak...”
“Cepatlah cakap! Terhegeh-hegeh. Apa yang kau nak? Aku ada banyak kerja lagi ni!” Reiyya tersentak. Belum sempat dia menghabiskan kata mamanya sudah menyergahnya dengan kasar sekali.
Perlahan-lahan Reiyya menundukkan kepalanya. Hatinya terguris kerana mamanya tidak pernah berlembut dengannya. Hanya intonasi kasar saja yang dia terima.
“Reiyya nak bagi mama benda ni.” Lantas dia menghulurkan kedua-dua tangannya yang sedang memegang satu kotak kecil berwarna merah jambu.
Serina hanya menjeling sekilas. Huluran daripada Reiyya tidak di sambut malah hanya dipandang sepi. Senyuman Reiyya yang terukir bersama huluran tersebut tadi kian luntur. Sekali lagi hatinya terguris.
“Happy birthday, mama.” Lemah sekali suara Reiyya menuturkan ucapan tersebut.
Serina merengus kasar. Laptop di riba diletak tepi sebelum dia mengalihkan tubuhnya menghadap Reiyya yang tertunduk. Kotak segi empat itu dipandang sejenak sebelum dia mengambil dengan kasar sekali daripada tangan Reiyya.
“Hmmm, sekarang kau boleh pergi dan jangan kacau aku lagi. Faham!” Ujarnya masih lagi dengan nada suara yang sama. Kasar dan lantang.
Reiyya mengangguk lemah. Matanya sudah berkaca tetapi kepalanya masih lagi tertunduk. Reiyya masih lagi berdiri tegak di sisi katil. Dia mahu mamanya membuka kotak tersebut. Dia ingin melihat reaksi wajah mamanya.
“Hah, apa lagi yang kau tunggu tu? Keluarlah sekarang!” Sekali lagi Serina merengus kasar. Berhadapan dengan Reiyya sememangnya membuatkan dia baran. Dia tidak pernah berlembut dengan gadis itu walaupun Reiyya merupakan anak kandungnya sendiri. Anak yang dikandungnya selama sembilan bulan.
Reiyya tersentak. Bahunya terhinjut sedikit apabila menerima herdikan mamanya tetapi dia masih lagi berada di posisi yang sama. Tidak bergerak walaupun dia dimarah untuk keluar daripada bilik mamanya.
“Reiyya... Reiyya nak... mama buk... buka kotak tu... emmm... sekarang.” Dengan tergagap dia menuturkan kata kepada mamanya. Kepala masih lagi ditundukkan kerana dia tidak pernah ada kekuatan untuk bertentang mata dengan mamanya. Dia tahu mamanya tengah marah kerana wanita ini tidak pernah tidak baran dengannya.
Serina menjengilkan mata. Bibir diketap kuat. Nafasnya yang sudah tidak teratur ditarik dalam. Ingin saja dia mengherdik Reiyya sekuat hati tetapi dia cuba untuk mengumpul secebis kesabaran yang masih ada.
“Huh! Kau ni memang menyusahkan.” Dengan tidak rela hati Serina membuka kotak tersebut. Reiyya dihadapan mengenggam erat kedua-dua tangannya. Sesekali matanya melihat mamanya yang sedang membuka kotak yang diberinya.
“Apa benda ni?” Serina mengerutkan dahi. Setelah kotak dibuka, ternyata ada secawan muffin.
“Untuk mama.” Reiyya bersuara.
Serina sudah hilang kesabaran. Matanya terjegil bulat dan nafasnya juga sudah tidak teratur. Reiyya yang berada di hadapannya kini dipandang tajam seperti hendak menelannya hidupnya.
“Siapa suruh kau beli benda ni, hah!” Jerkah Serina kuat. Kemudian, kotak berisi muffin itu dilempar sekuat hati ke atas lantai.
Reiyya terkejut. Jerkahan mamanya yang nyaring membuatkan tubuhnya menggigil tetapi yang lebih mengejutkan adalah apabila mamanya melontar kotak yang diberinya tadi ke atas lantai.
“Sekarang ni aku nak kau bersihkan sampah tu. Huh! Aku paling benci muffin, kau tau tak!” Dengan rengusan kasar dia bangkit bersama dengan laptop di tangan lalu keluar daripada bilik. Tidak langsung mempedulikan ada hati yang terguris akibat perbuatannya itu.
Perlahan-lahan Reiyya menapak ke arah muffin yang sudah hancur terkeluar daripada kotak merah jambu itu. Reiyya melutut menghadap muffin yang bertaburan itu.
“Sampai hati mama.” Perlahan-lahan air mata yang tertahan sedari tadi mengalir keluar dari tubir mata. Semakin lama semakin kuat tetapi esak tangisnya tidak kedengaran. Dia hanya menangis diam.
Tercalar lagi hati Reiyya. Muffin yang dibeli hasil daripada duit yang dikumpulnya tidak dihargai langsung. Malah dilempar begitu saja dan dianggap sampah oleh mamanya.
Dia sanggup bersengkang mata dan menghabiskan masanya untuk membuat kerja kawan-kawannya di sekolah hanya kerana ingin mendapat upah yang sedikit. Hasil duit daripada kerjanya itulah yang dia guna untuk membeli sebiji muffin untuk mamanya. Hancur luluh hatinya kini. Hancur lumat!
“Sampai hati mama... sampai hati...” Reiyya menangis hiba. Mama tidak pernah menyayanginya. Tidak pernah!
“REIYYA!” Reiyya yang berada di dapur segera mendapatkan mamanya di ruang tamu.
“Ada apa, mama?” Soal Reiyya. Dia menghampiri mamanya yang sedang duduk di sofa di ruang tamu itu. Jelas kelihatan wajah mamanya yang berseri dan bercahaya. Senyuman yang tersungging di bibir merah itu juga manis dan lebar.
“Duduk. Aku ada benda nak bagi tahu kau.” Ujar Serina tetapi masih dengan suara yang ceria.
Reiyya sedikit tersentak. Selama ini mama tidak pernah menunjukkan senyuman dan menggunakan suara yang ceria ketika bercakap dengannya. Pada malam ini, mamanya seakan berubah. Tanpa sedar hatinya menjerit suka apabila melihat perubahan itu. Hatinya yang tercalar kerana insiden pagi tadi seakan-akan tidak terasa sudah malah hilang begitu saja.
“Kau suka ke tinggal di apartment buruk ni?” Soal Serina tetapi matanya bukan pada Reiyya malah tertancap pada kaca televisyen yang hitam dan kosong itu. Seolah-olah sedang termenung jauh.
Reiyya terpinga-pinga. Hairan kerana mamanya tiba-tiba bertanyakan soalan yang sedemikian rupa. Tetapi dijawab juga soalan mamanya itu kerana bimbang mood baik mamanya ini nanti hilang.
“Suka! Sebab ada mama.”
Serina tersenyum sinis sambil menjeling sekilas ke arah Reiyya.
“Kau suka sebab kau tu bodoh. Mana ada orang suka tinggal kat apartment buruk dan hodoh macam ni.” Sinis Serina. Reiyya yang mendengar dirinya dikata bodoh menundukkan kepala. Hatinya yang tadi gembira kini bertukar suram. Kecil hatinya apabila digelar bodoh oleh mamanya sendiri.
“Malik dah lamar aku. Dia nak kahwin dengan aku. Dalam masa sebulan aku akan jadi isteri dia. Isteri kepada Datuk Malik Iskandar.” Sejurus itu Serina tertawa bahagia dan terselit juga perasan bangga apabila memikirkan dirinya akan menjadi kaya nanti.
Manakala Reiyya tersentak. Malik? Teman lelaki mamanya sudah melamar mamanya. Tiba-tiba perasaan takut dan gentar menyisip masuk ke ruang hatinya. Dia tidak pernah berjumpa dengan teman lelaki mamanya itu tetapi dia tahu lelaki itu sememangnya kaya kerana sudah terlalu banyak barang berjenama yang dibelikan untuk mamanya.
Reiyya menjadi takut. Dia takut kalau-kalau bakal ayah tirinya itu tidak dapat menerimanya. Dia juga takut kalau lelaki itu juga menderanya. Sesungguhnya dia takut. Adakah lelaki itu dapat menerimanya? Seorang budak kecil yang berumur 12 tahun, anak kepada Serina?
“SAMPAI dekat rumah Malik nanti, kau jangan buat hal. Kau jangan nak malukan aku pula. Faham!” Ujar Serina dengan nada suara yang keras.
Reiyya mengangguk patuh. Kelmarin, mamanya dan Malik sudah selamat dinikahkan. Sebentar lagi, Malik akan mengambil mama dan aku untuk ke rumahnya. Sejujurnya dia lega apabila mamanya membawa dia sekali untuk tinggal bersama. Sebelum ini dia terlalu risau jikalau mamanya akan meninggalkannya sendirian di apartmen usang ini kerana khuatir Malik tidak dapat menerimanya tetapi ternyata dia salah.
Tuk! Tuk! Tuk! Pintu rumah diketuk. Reiyya yang sedang duduk di kerusi meja makan memandang ke arah pintu sebelum mengalihkan pandangan ke arah pintu bilik mamanya yang tertutup.
“Reiyya! Buka pintu tu.” Jerit mamanya dari dalam bilik.
Reiyya segera mengatur langkah dan membuka pintu rumah tersebut. Sebaik saja pintu di buka, kelibat seorang lelaki berpakaian serba hitam kelihatan. Reiyya mendongak untuk melihat wajah lelaki tersebut. Ini tentu Malik, suami baru mama dan bapa tiri aku?
Malik menunduk dan melutut agar Reiyya tidak perlu mendongak memandangnya. Senyuman manis dihulurkan buat anak tirinya itu tetapi Reiyya tidak membalas.
“Uncle Malik kan?” Tanya Reiyya. Sedikit ragu-ragu kerana lelaki ini terlalu tampan dan sasa dalam umurnya lewat 30.
“Hai, Reiyya. Panggil papa, okey.” Sekali lagi Malik mengukir senyuman buat Reiyya. Kepala gadis itu diusap lembut.
Reiyya sedikit tersentak. Tidak pernah menyangka bahawa inilah dia bapa tirinya. Reiyya tidak pernah menyangka dia akan mendapat seorang bapa tiri yang penyayang dan juga tampan. Selama ini dia fikir mamanya bercinta dengan seorang lelaki tua tetapi ternyata dia salah.
“Umur Reiyya, berapa?” Tanya Malik. Gadis di hadapannya ini seakan-akan sebaya dengan anaknya.
“Umur Reiyya 12 tahun.” Jawab Reiyya bersama senyuman yang manis.
Malik tersenyum. Dia sudah dapat agak bahawa anaknya dengan anak Serina hampir sebaya. Walaupun dia punya anak perempuan yang cantik, manis dan amat disayanginya, dia tetap akan berusaha untuk menyayangi anak tirinya ini kerana Reiyya merupakan anak Serina, iaitu isterinya. Tidak susah baginya untuk menyayangi gadis seperti Reiyya kerana Reiyya sememangnya anak yang comel.
“Sorry, sebab Rina lambat. Jomlah kita gerak sekarang.” Ujar Serina yang baru saja muncul dari dalam biliknya. Malik segera berdiri dan memberikan ciuman di pipi isterinya itu apabila dia sudah berada di sisi Serina.
“Okey, jom kita gerak. Jom, Reiyya.” Malik sekali lagi memberikan senyuman kepada Reiyya dan Reiyya membalasnya. Malik segera mengambil semua beg milik Serina dan Reiyya itu sebelum berjalan keluar menuju ke keretanya.
Serina berasa tidak senang hati. Dia tidak suka apabila Malik melayan Reiyya dengan baik. Entah kenapa, dia tidak pernah suka dengan senyuman milik Reiyya. Dia tidak suka apabila Reiyya tersenyum gembira.
“WELCOME!” Ujar Malik dengan senyuman lebar menjemput Serina dan Reiyya masuk ke dalam rumahnya.
Serina tersenyum tersipu malu apabila Malik memberikan senyuman kepadanya manakala Reiyya sudah tercengang. Ternyata rumah barunya kini besar yang amat. Rumah agam tiga tingkat ini terlalu besar baginya. Terlalu mewah sehingga matanya hampir terjojol keluar.
“Reiyya suka tak rumah baru Reiyya ni?” Tanya Malik apabila melihat reaksi wajah Reiyya yang seakan-akan kagum melihat isi rumah itu sebaik saja mereka melangkah masuk tadi.
Reiyya hanya mampu mengangguk laju. Dia sudah tidak tahu mahu berkata apa lagi kerana perasaan suka dan gembiranya tidak dapat dapat diluahkan dengan kata-kata. Mahu saja dia melompat gembira dan memeluk Malik tetapi dia tahu dia tidak akan pernah dapat melakukan itu. Sedari tadi mamanya memandang dan menjelingnya tajam seolah-olah sedang memberi peringatan kepadanya agar tidak membuat perkara yang memalukan.
“Reiyya nak kawan tak?” Tanya Malik lagi bersama senyuman. Reiyya hanya mengangguk perlahan-lahan bagi menjawab soalan Malik itu.
“Ella, sayang! Turun sini kejap sayang. Papa ada bawa surprise ni.” Jerit Malik dari kaki tangga ke arah tingkat atas. Reiyya mengerutkan dahi. Siapa Ella?
Beberapa saat kemudian, seorang gadis yang bergaun putih turun daripada tangga. Sebaik saja melihat Malik, gadis itu pantas berlari dan terus memeluk tubuh lelaki itu.
Selepas beberapa saat, pelukan dileraikan dan Malik membawa gadis bergaun putih itu ke arah Reiyya dan Serina. Malik hanya tersenyum sebelum memperkenalkan gadis itu.
“Sayang, inilah Ella. Sarah Della, anak perempuan kesayangan saya.” Ujar Malik kepada Serina.
Serina tersenyum manis dan lebar sebelum merangkul tubuh Ella ke dalam dakapannya. Reiyya di sisi hanya diam tidak terkutik. Sejujurnya, dia cemburu apabila mamanya memeluk Ella kerana selama ini mama tidak pernah memeluknya.
Selepas pelukan dileraikan, Ella mengukirkan senyuman yang cukup manis buat Serina sebelum menghadiahkan sebuah kucupan di pipi mama barunya itu. Kucupan manja itu membuat Serina tersenyum gembira sebelum membalas perbuatan yang sama kepada Ella.
“Ella, ini pula Reiyya, your new sister. Sayang suka tak?” Kali ini, Malik memperkenalkan Reiyya kepada Ella.
“Ella suka sangat, papa!” Ujar Ella ceria sebelum memeluk Reiyya.
Reiyya terpinga-pinga. Dia tidak pernah menyangka, inilah kawan yang dimaksudkan oleh Malik sebentar tadi. Ternyata, dia bukan saja mendapat bapa tiri tetapi dia juga mendapat adik tiri!
Reiyya tidak tahu mahu berbuat apa. Pelukan Ella tidak dibalas tetapi apabila melihat jelingan mamanya, dengan perlahan-lahan dia mengangkat kedua-dua tangannya dan memeluk adik tirinya itu.
Apabila pelukan terlerai, Ella memegang kedua-dua tangan Reiyya dan memberikan senyuman manisnya. Reiyya membalas tetapi dengan hatinya yang berat. Entah kenapa, hatinya berat untuk menerima kehadiran Ella. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia punya perasaan seperti itu. Namun begitu dia tetap mengukir senyuman kerana jelingan mamanya sentiasa melekat pada dirinya.
“Ella happy sangat! Sekarang ni Ella dah ada kawan kan papa.” Ujar Ella dengan manja sekali pada papanya. Malik tergelak kecil, gembira kerana puterinya suka dengan kejutan yang dia berikan.
“Papa tahu Ella mesti happy.” Balas Malik. Serina segera mendekati Malik dan memaut lengan suaminya. Malik menoleh ke sisi. Dia tersenyum dan memberikan kucupan pada dahi Serina.
“Papa papa papa! Ella tunjukkan bilik untuk kak Reiyya okey papa.” Ujar Ella dengan terujanya. Malik hanya mengangguk sebelum tersenyum senang kepada Ella dan Reiyya.
Ella segera menarik tangan Reiyya dan membawa gadis itu ke tingkat paling atas. Reiyya hanya mengikut langkah gadis itu. Rasa hati yang tidak senang dengan Ella dibuang jauh-jauh. Dia tahu, Ella seorang gadis yang baik oleh itu kenapa dia harus membenci adik tirinya. Tiada sebab kenapa dia harus berbuat sedemikian.
“Okey, pintu pink ni bilik Ella. Sebelah ni pula, pintu warna purple ni bilik kak Reiyya. Jom kita masuk.” Ujar Ella masih lagi dengan suara cerianya. Sekali lagi Ella menarik tangan Reiyya untuk masuk ke dalam bilik miliknya.
Sebaik saja memasuki bilik yang dikatakan miliknya itu, Reiyya sekali lagi terpegun. Bilik yang berdinding warna ungu lembut itu sangat cantik. Lengkap dengan pelbagai perobot yang dia hanya mampu bermimpi selama ini. Biliknya sangat besar! Besar berkali-kali ganda daripada biliknya dulu.
“Cantik tak kak Reiyya?” Tanya Ella.
Reiyya mengangguk laju. Sejurus itu dia memandang Ella tetapi dia berasa hairan. Wajah ceria, teruja dan gembira gadis itu sudah tiada. Kini, di wajah Ella hanya terpamer wajah sombong dan dingin. Apa telah terjadi?
“Hmmm, baguslah kalau kak Reiyya suka tapi bilik Ella lagi cantik daripada ini. Bagi Ella, bilik ni belum boleh dikatakan cantik lagi.” Ujar Ella dengan angkuh. Mata gadis itu meliar pada setiap sudut bilik tersebut.
“Apa... apa maksud, Ella?” Tanya Reiyya. Sejujurnya dia tersentak saat mendengar intonasi suara Ella yang sudah berubah itu. Tidak lagi manja tetapi angkuh.
“Biasalah. Orang miskin kalau dibagi benda yang buruk pun dia kata cantik.” Ujar Ella kali ini bersama dengan senyuman sinis. Dia menjeling sekilas ke arah Reiyya yang nampaknya terpinga-pinga apabila perwatakannya sudah berubah.
“Kenapa Ella cakap macam tu dengan Reiyya.” Kata Reiyya dengan nada suara yang sedih. Kecil hatinya mendengar ayat yang ditutur oleh Ella itu. Sememangnya dia orang miskin tetapi kenapa harus dihina sedemikian rupa.
“Salah ke apa yang Ella cakap? Ella cakap yang betul je. Walaupun mama kak Reiyya dah kahwin dengan papa, antara orang yang ternama di Malaysia ni, mama Rina dengan kak Reiyya tu tetap orang miskin.” Angkuh sekali tutur kata yang diucapkan oleh Ella.
“Ella tak happy ke? Tadi Ella kata Ella happy sebab ada mama dengan kak Reiyya tapi kenapa sekarang nak hina-hina kami.” Reiyya semakin menundukkan kepala. Suaranya juga semakin lemah dan dia semakin sedih mendengar apa yang dikata oleh Ella sebentar tadi.
“That’s what people called acting. Ella just berlakon je depan papa sebab kalau papa tahu Ella tak suka mama Rina dengan kak Reiyya, nanti papa dah tak sayang Ella lagi dah. Ella kan budak baik. Budak baik mana boleh lawan kata. Mestilah tunjukkan yang diri ni baik. Kak Reiyya ni bodohlah.” Ujar Ella dengan penuh sinis. Sejurus itu Ella ketawa lalu keluar daripada bilik tersebut.
Air mata yang bergenang akhirnya jatuh juga ke pipi. Sedari tadi dia cuba untuk tidak menangis tetapi kata-kata hinaan Ella tadi betul-betul menikam hatinya. Hatinya tidak sudah-sudah sakit. Dulu mama dan sekarang Ella. Kenapa nasib Reiyya begini? Tak layakkah Reiyya untuk bahagia? Apa salah Reiyya?
Reiyya terjelopok jatuh ke lantai. Kedua-dua tangannya dilekapkan ke wajahnya. Esak tangis semakin kuat tetapi cuba ditahan. Berapa lama lagi dia harus menjalani ujian sebegini. Dia takut hatinya yang sakit ini akan menyebabkan dia untuk membenci. Dia takut dia tidak dapat bertahan.
p/s : bab ni dah lama siap tapi xda masa nak post la pulak so baca jangan x baca ^_^
No comments:
Post a Comment